skip to Main Content
Rose Zainol Dr Noor Hisham Bin Abdullah

Aku punya banyak sekali kawan dengan berbagai sifat, dari yang paling kedekut dan pemalas sampai yang paling murah hati dan ringan tangan. Dari yang paling tenang, sampai yang paling kelam kabut. Dari yang paling lucu sampai yang paling garing dan kering bak milo yang sudah mengeras.

Dari sekian banyak kawan yang aku punya, aku selalu terkagum-kagum dengan kawan yang selalu bisa melihat perkara dengan begitu sederhana. Memandang sesuatu dengan sangat simpel, nikmat, dan kadang masuk akal.

Dan sejak PKP ni, aku telah dihadiahkan seorang kawan baru, kawan yang baru aku kenali di laman media, kadang di TV, kadang di handphone, kadang di Ipad dan kadang di komputer.

Orangnya sangat relax, tak pernah sekali pun aku nampak riak cuak di mukanya, selalu bersahaja menjawab setiap soalan spontan dan tenang mengendalikan setiap isu yang sangat mewah saat ini, Coronavirus atau COVID-19. 

Siapa yang tidak kenal dengan kawan baru aku ni, Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah. Beliau dilahirkan di Sepang pada tanggal 21 April 1963 (lagi 2 hari kita rakyat Malaysia akan sambut “hari lahir” beliau) dan sekarang memegang jawatan sebagai Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mungkin ramai yang belum tahu yg beliau juga seorang pakar bedah dan Presiden Majlis Perubatan Malaysia.

Manusia paling popular!

Pada 3 April 2020, Dr Noor Hisham Abdullah terpilih untuk menyertai Gabungan Penyelidikan Klinikal COVID-19 dalam usaha memerangi penyakit itu di tahap yang lebih tinggi. Beliau juga dinamakan sebagai ‘Manusia paling popular’ oleh Sinar Harian dalam sebuah rencana pada 5 April 2020. Rasanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dialah HERO kita semua, tak kira dari anak kecil sampai la yang paling tua. Setuju kan!

Walaupun tidak menggalas jawatan menteri Kabinet, beliau tetap menteri di hati setiap rakyat Malaysia kerana kejayaannya yang muncul sebagai ‘wajah’ negara kita dalam memerangi COVID-19, dan aku rasa ada juga yang memberikan gelaran ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media.

Datin Nik Suwaida binti Haji Nik Mohammad Mohyideen adalah isteri tercinta beliau yang banyak memberi semangat dari sisi belakangnya. 

Diiktiraf Doktor Terulung di Peringkat Global!

Baru-baru ni beliau diiktiraf sebagai tiga doktor terulung di peringkat global dalam memerangi COVID-19. Beliau menyifatkan ini bukan penghargaan kepada individu, sebaliknya untuk Malaysia dan keseluruhan jentera kerajaan.

Bagi aku itu sudah jelas menunjukkan beliau mengambil pendirian terus berpegang kepada resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk ke bumi.

“Pengiktirafan ini untuk negara sebenarnya, tetapi apa yang lebih penting, Kementerian Kesihatan (KKM) bekerja sebagai satu pasukan untuk beri nasihat kepada kerajaan”

“Pembuat keputusan bukan saya, tetapi Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), contohnya, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) adalah dilaksanakan Perdana Menteri, kita sekadar nasihat,” 

Bersandarkan laporan China Global Television Network (CGTN), Dr Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang COVID-19, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield.

Pandemik COVID-19!

Ketiga-tiga mereka dihujani pujian kerana mengetengahkan penampilan tenang, jelas dan meyakinkan, sejak beberapa minggu lalu bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pandemik COVID-19.

“Ada empat tindakan penting yang perlu dalam mengawal penularan wabak ini, antaranya kawalan sempadan kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kawalan pergerakan pula dijayakan hasil kerjasama erat antara kementerian dengan PDRM supaya segenap lapisan masyarakat patuh kepada perintah ini.

” Tidak lupa, petugas barisan hadapan yang tampil ke depan untuk bersama membantu usaha menangani penularan COVID-19, jadi ini (pengiktirafan) bukan untuk saya, tetapi untuk negara,” katanya beliau pada satu sidang media. 

Pada akhirnya, kita semua memang harus mengakui. Dia bukan seorang pelakon yang cuba menjadi hero di kaca TV. Kita salah besar. Sebab, dia adalah HERO di hati kita.

Semua ibu melahirkan anak, tapi tidak dengan ibunya Dr. Noor Hisham, ia melahirkan LAGENDA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *